SEANDAINYA ANDA GURU…PERANAN ANDA MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTISME

CARA GURU MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTISME DALAM KALANGAN MURID     

Patriotisme sering dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan terhadap negara sendiri. Seseorang itu dianggap berjiwa patriot apabila kepercayaan, amalan dan tindakannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara(Nik Anuar Nik Mahmud: 2002). Namun, mutakhir ini, semangat patriotisme kelihatan agak longgar di kalangan masyarakat khususnya di kalangan pelajar. Semangat yang longgar ini ditandai dengan kurangnya penglibatan pelajar dalam pasukan beruniform, sambutan bulan kemerdekaan yang agak hambar, penglibatan dalam jenayah dan isu-isu yang menyentuh kedaulatan negara dianggap terpencil dan remeh seperti isu Pulau Batu Putih dan penambakan laut oleh negara jiran (Affifuddin Omar: 2002). Situasi ini menunjukkan bahawa para pelajar tidak memahami nilai-nilai patriotisme dan menghayatinya.

Menurut Wong (2005), isu kelunturan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda pada hari ini adalah kurangnya kesedaran mengenai cabaran-cabaran yang perlu dihadapi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warganegara. Mereka tidak lagi tahu tentang pahit jerih yang diharungi oleh generasi terdahulu dalam memastikan kesenangan ini dapat dinikmati oleh anak cucu mereka. Perkara ini telah menimbulkan ‘budaya selesa’ (complacent culture) dalam kalangan remaja terutamanya mereka yang lahir selepas kemerdekaan. Hal ini juga disebabkan oleh perubahan tingkah laku pelajar yang terdedah kepada pelbagai maklumat di internet yang mengalih tumpuan dan minat mereka terhadap pembelajaran dan penghayatan nilai-nilai patriotisme ini. Justeru itu, perkara ini mesti dikawal dan dicegah sebelum berlaku dengan lebih parah lagi dan institusi sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk menyemai kembali perasaan cintakan negara ini.

Guru-guru di sekolah rendah dan menengah boleh mengambil pelbagai inisiatif untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Inisiatif ini bukan sahaja boleh dilaksanakan di dalam bilik darjah tetapi juga di luar bilik darjah. Cara pertama yang boleh digunakan ialah mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah di dalam negara. Lawatan ini akan mendedahkan murid kepada sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku di tempat tersebut serta melihat sendiri tinggalan bersejarah yang pernah digunakan sewaktu peristiwa tersebut. Guru boleh merancang satu lawatan yang menyeronokkan tetapi berfaedah ke tempat-tempat tertentu. Sebagai contoh, guru boleh membawa murid melawat ke Muzium Negara bagi melihat sendiri alat-alat, manuskrip, gambar dan sebagainya yang pernah digunakan semasa hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Selain itu, lawatan juga boleh diadakan semasa sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara di Dataran Merdeka. Dengan cara ini maka pelajar akan dapat melihat dan merasai suasana hari kemerdekaan itu disambut walaupun tidak sama dengan dengan sambutan sebenar.
Selain itu, guru juga boleh merancang aktiviti-aktiviti yang berkitan dengan patriotisme di sekolah masing-masing sempena sambutan hari kemerdekaan, Hari Malaysia, Hari Pahlawan dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti luar bilik darjah seperti pameran sejarah, pertandingan melukis bendera dan jata negara serta nyayian lagu-lagu patriotik akan membantu para pelajar untuk menghayati nilai-nilai patriotisme melalui amalan nyata mereka. Contohnya, semasa sambutan Hari Pahlawan peringkat sekolah, guru boleh menganjurkan pertandingan sajak berkenaan dengan perjuangan tokoh-tokoh negara yang berjasa dalam mempertahankan negara daripada ancaman luar. Pelajar yang menyertainya sudah pasti akan menghayati setiap bait sajak yang mereka cipta bagi menggambarkan perasaan mereka terhdap peristiwa tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan memupuk semangat cintakan negara dalam diri pelajar tersebut.

Sementara itu, cadangan aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh guru ialah menjemput tokoh-tokoh sejarah untuk menyampaikan ceramah ataupun bengkel patriotisme di sekolah masing-masing. Guru-guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah merupakan individu yang paling dekat dan sesuai untuk melaksanakan bengkel patriotisme kerana mereka telah mempelajari sejarah dan dianggap mempunyai kefahaman patriotisme yang lebih tinggi. Guru juga boleh menggalakkan pelajar untuk menyertai kem patriotik yang dianjurkan oleh organisasi-organisasi tertentu seperti Kem Rakan Remaja Patriotik yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia. Kem ini dijalankan secara bersiri di seluruh negara sebagai salah satu usaha untuk menyemai kembali semangat patriotisme yang kian pudar dalam kalangan pelajar. Kem patriotik seperti ini amat sesuai untuk disertai kerana pelajar yang menyertainya bukan sahaja memupuk semangat patriotik dalam diri mereka tetapi juga menambahkan ilmu pengetahuan di samping mendapatkan pengalaman.

Akhir sekali, guru boleh memberikan tugasan projek atau kerja lapangan kepada para pelajar terutamanya pelajar Tingkatan 5 dan 6. Projek ini boleh diberikan berdasarkan kepada soalan-soalan sejarah yang sesuai dan relevan dengan tahap keupayaan pelajar tersebut.. Antara tugasan projek yang boleh dilaksanakan ialah membuat temubual mengenai sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku bagi menghasilkan sejarah lisan. Pelajar boleh membuat temubual dengan tokoh-tokoh yang dipercayai terlibat dalam kejadian sejarah bagi mendapatkan rekod tentang peristiwa tersebut. Tugasan luar bilik darjah seperti ini akan mendorong pelajar untuk membaca, membuat rujukan dan menemubual tokoh untuk mengetahui peristiwa bersejarah tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan menimbulkan minat pelajar terhadap sejarah dan seterusnya menyedari perkaitan sejarah dengan kepentingan pemupukan semngat patriotisme dalam diri mereka. Namun begitu, guru yang terlibat hendaklah menerangkan prosedur-prosedur yang betul semasa membuat temubual supaya hasil daripada tugasan tersebut benar-benar berkualiti.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s